Khamis, 7 Mei 2020

Pelihara Puasa, Elak daripada Perbuatan Sia-Sia

Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari ke 9 kita berpuasa. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi peluang kepada kita untuk merasai tarbiah di madrasah Ramadhan pada tahun ini.

Rasulullah pernah mengingatkan, ramai muslim yang berpuasa tetapi puasanya hanya sia-sia. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW :

  رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. (Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690)

Puasa seseorang muslim perlulah bertepatan dengan makna puasa itu sendiri iaitu menahan daripada melakukan perbuatan yang membatalkan puasa bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari disertai dengan niat puasa.

Orang zaman dahulu mengelakkan diri daripada mengumpat adalah duduk bersendirian (khalwat). Namun pada hari ini, manusia lebih bahaya duduk bersendirian. Hal ini kerana dengan kemudahana teknologi yang ada, bukan sahaja mengumpat malah membuli, mengutuk, mencuri boleh dilakukan melalui telefon pintar.

Ramadhan kali ini, marilah kita berazama untuk melakukan Ramadhan yang paling baik, paling bagus, paling cemerlang daripada sebelumnya. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menyatakan 3 tingkatan bagi orang berpuasa. Iaitu puasa awam, puasa khusus, puasa paling khusus.

- Pertama puasa awam. Puasa ini adalah paling rendah. Ianya menahan perut dan kemaluan daripada kehendak syahwat.
- Kedua puasa khusus. Puasa ini adalah menahan pandaindera dan anggota badan daripada perbuatan dosa.
- Manakala yang ketiga ialah puasa paling khusus. Puasa ini adalah memelihara hati daripada kehinaa, pemikiran keduaniaan atau apa-apa selain Allah.



Fatimah Azzahrak . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates