Hijab : Tutup vs Balut
18082018
Pemakaian hijab bukanlah isu baru untuk diperkatakan dalam kalangan wanita zaman ini. Konsep hijab untuk menutup aurat pada dasarnya di fahami oleh semua golongan wanita tidak kira yang bekerja atau suri rumah, yang berpangkat atau pekerja. Di Malaysia sendiri, isu pemakaian tudung turut diperdebat bukan sahaja di peringkat institusi tinggi malahan di peringkat sekolah.
Pada permulaan ini, suka saya tegaskan kenapa wanita ni wajib menutup aurat. Yang pertama sekali adalah kerana menutup aurat ini adalah perintah daripada Allah. Yang kedua adalah di perintahkan menutup aurat kerana untuk menghalang daripada perbuatan zina dan yang terakhir untuk menutup pintu-pintu dosa atau lebih kenali sebagai sadd al-zarai' yang bermaksud menutup atau mencegah perkara yang boleh membawa kepada kerosakan serta mendorong kepada perkara yang dilarang oleh agama. Oleh kerana tiga sebab utama inilah wajib ke atas wanita dan lelaki agar menjaga aurat dengan sempurna.
Pelbagai pendapat dan pandangan yang di berikan oleh para ulama fiqh berkaitan dengan aurat wanita. Menurut mazhab Syafi'e dan Hanbali aurat wanita adalah meliputi seluruh badan termasuk kuku. Manakala menurut Imam Malik dan Abu Hanifah pula aurat wanita adalah seluruh tubuh badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Dalil yang di ambil oleh Imam Malik dan Abu Hanifah ialah daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda " Wahai Asma! Apabila seorang wanita mencapai usia baligh, maka tidak boleh dilihat darinya kecuali ini dan ini sambil mengisyaratkan kepada wajah dan kedua tapak tangan."
Dalam Islam, berfesyen bukanlah suatu kesalahan asalkan ia memenuhi kehendak yang di syariatkan oleh Al-quran dan hadis. Firman Allah dalam surah an-Nur ayat ke 31 yang berbunyi :
(وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ )
Yang bermaksud : " Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. "
Dek kerana ketaksuban untuk cantik, wanita mudah terpegaruh dengan gaya-gaya baru baju atau tudung atau untuk mudah di fahami adalah trend berfesyen. Fesyen adalah sesuatu yang berkembang pantas mengikut peredaran zaman. Fesyen boleh mengikut keadaan sosial, politik dan kebudayaan sesuatu tempat. Islam tidak melarang wanita untuk berfesyen atau berhias kerana sifat wanita yang sinonim dengan kecantikan. Warna, corak baju dan tudung, jenis kain perlulah di ambil kira walaupun hendak berfesyen. Wanita tidak di galakkan memakai pakaian yang nipis, warna yang menarik perhatian dan corak-corak pelik seperti lambang salib, gambar tengkorak dan sebagainya.
Seterusnya, wanita di larang sama sekali untuk memakai pakaian yang bertujuan meniru pakaian orang kafir. Ulamak menjelaskan pemakaian yang meniru gaya orang kafir atau fasik di larang sama sekali seperti salib ( melambangkan agama kristian), sabit dan penukul ( lambang komunis) dan lambang nazi.
Islam tidak menetapkan pakaian tertentu bagi wanita tetapi Islam memberi garis panduan untuk wanita memahami tatacara pemakaian mengikut syariat.
Antara garis panduan yang di tetapkan ialah :
1) Pakaian menutup aurat
Pastinya ciri yang paling utama adalah pakaian yang di pakai perlu menutup aurat. Hanya tangan dan muka sahaja di beri kelonggaran. Jelas disini muka dan tapak tangan. Bermakna kaki wanita adalah aurat yang wajib ditutup. Oleh kerana impak daripada tarbiah jahiliyah, zaman kini golongan lelaki lebih menjaga pemakaian berbanding kaum wanita. Jika kita teliti pakaian yang di jual di kedai-kedai, walaupun bertittle muslimah, ada juga warna yang menjolok mata, fabric yang melekat pada kulit dan kain nipis di jual.
2) Pakaian yang longgar
Baju, seluar atau jubah yang di pakai mestilah longgar serta tidak menampakkan susuk tubuh badan. Perlu berhati-hati ketika membeli baju kerana walaupun di katakan fesyen muslimah, "muslimah"nya itu belum tentu menepati syariat kerana kebanyakan penjual ingin mengejar material berbanding ibadah. Pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan sudah menjadi kebiasaan dan imun dalam kalangan wanita malahan menjadi satu trend semasa dalam kalangan wanita muslimah. Dari atas hingga ke bawah bertutup, namun tidak ubah seperti perempuan yang bertelanjang. Pakaian seperti ini dilarang oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
" Sesungguhnya di antara ahli neraka itu ialah perempuan-perempuan yang
berpakaian tetapi telanjang. Mereka cenderung kepada maksiat dan menarik
orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka sama sekali tidak akan masuk
syurga dan tidak akan mencium harumannya. "
3) Pakaian yang labuh
Allah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat ke 59 :
(يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا)
" Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Ayat di atas datang dalam bentuk arahan bermaksud, ini adalah perintah wajib. Pakaian wanita perlulah labuh tetapi wanita perlu berhati-hati agar pakaian yang labuh itu tidak mengheret najis dan menimbulkan perasaan riak.
4) Tidak bercorak dan warna keterlaluan
Pakaian dalam Islam pada asalnya adalah untuk menutup aurat, mengelak daripada fitnah, menjaga kecacatan dan keaiban daripada di pertontonkan kepada awam. Apabila pada pakaian terdapat corak dan warna yang keterlaluan, yang mana dapat menimbulkan fitnah, maka pakaian tersebut perlu di elakkan daripada memakainya. Dalam Islam pakaian seperti ini di panggil "syuhrah" yang bermaksud pakaian hiasan yang menarik perhatian orang ramai seperti corak dan warna yang keterlaluan, jahitan sulam dan manik yang berlebihan sehingga membangkitkan rasa riak dan takabbur.
5) Pakaian tidak menyerupai lelaki
Wanita dan lelaki mempunyai perbezaan fizikal yang amat ketara. Begitu juga dengan pemakaian, pakaian lelaki dan wanita tidak sama yang mana jika wanita memakai pakaian lelaki, pasti auratnya tidak dapat di tutup dengan sempurna. Hukum memakai pakaian yang menyerupai lelaki adalah haram. Daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah
melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.
Konklusinya, sebaik-baik pakaian adalah yang sederhana dan menurut syariat bagi mengelakkan diri dari bertabarruj dan fitnah sebagimana yang berlaku pada zaman jahiliah. Seluruh masyarakat amnya dan wanita khususnya perlulah peka dan sedar tentang hukum pemakaian yang yang telah di gariskan agar tidak bertentangan dengan suruhan dan larangan Allah dalam etika pemakaian.